BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda beserta tongkang kerana disyaki memindahkan balak tanpa permit sekitar 3.7 batu nautika dari Tanjung Batu, semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu Kapten Maritim Mohd. Khairol Anuar Saad dalam satu kenyataan berkata, aset APMM yang melakukan rondaan rutin mengesan bot tunda dan tongkang itu memindahkan kayu balak ke kapal lain sekitar jam 10.30 pagi.

Anggota Maritim Zon Bintulu menahan bot tunda dan tongkang sedang memindahkan kayu balak ke kapal lain.

Beliau berkata bot tunda dan tongkang itu dikendalikan enam anak kapal termasuk tekong berusia antara 22 dan 54 tahun.

“Dua anak kapal termasuk seorang tekong tempatan dan seorang warga Indonesia ditahan di atas bot tunda, manakala seorang anak kapal tempatan dan dua warga Indonesia ditahan di atas tongkang,” tambahnya.

Tambahnya, anak kapal warga Indonesia yang ditahan mempunyai pasport dan permit untuk bekerja di kedua-dua kapal berkenaan.

“Kedua-dua vesel itu ditahan kerana didakwa melakukan aktiviti pemindahan kargo antara kapal tanpa kebenaran Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya.

Kes turut disiasat mengikut Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara, jika sabit kesalahan.

Suara Sarawak