Datuk Yong Soo Heong

KUCHING: Wartawan perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kecekapan selain sentiasa berfikiran positif untuk terus maju dalam bidang ini.

Wartawan veteran Datuk Yong Soo Heong berkata, ia selari dengan situasi dunia media yang kompetitif dan memerlukan wartawan mahir dalam banyak bidang selain menulis.

”Wartawan memerlukan lebih banyak kecekapan termasuk mengambil gambar atau merakamkan video untuk kegunaan karya mereka.

“Apabila masa berlalu, kemahiran ini sangat diperlukan dan wartawan harus bersedia untuk itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Bengkel Laporan Perniagaan dan Ekonomi anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) yang diadakan di pusat latihan institut itu di Cyberjaya, semalam.

Menurutnya, wartawan juga perlu bekerjasama dengan bahagia penyunting grafik untuk menghasilkan karya yang menarik disamping meningkatkan kandungan yang diolah.

Katanya, dengan grafik yang menarik, ia bukan sahaja dapat menarik mata pembaca malah turut memudahkan mesej yang disampaikan dapat difahami.

“Wartawan juga harus buang rasa takut atau malu untuk bertanya kerana mereka adalah utusan kepada orang ramai.

“Kita perlu menjadikan diri kita relevan dan sebagai pemberita, kita perlu menjaga jenama kita untuk berkembang maju dan jenama peribadi kita akan berkembang maju,” tegasnya lagi.

Bengkel selama empat jam itu bertujuan mengukuhkan cara penulisan meja ekonomi secara cekap dan berkesan dalam dunia media digital ini.

Suara Sarawak