TEKA-TEKI tarikh Parlimen ke-14 dibubarkan sudah pun dijawab tepat jam 3.00 petang, 10 Oktober lalu.

Pengumuman khas dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disiarkan secara langsung melalui media perdana dan media sosial.

Jadi, dengan pengumuman itu, bermakna gendang Pilihan Raya Umum (PRU) kali ke-15 sudah pun dipalu. Perahu sudah di air, pengayuh sudah di tangan, kini semua parti politik cuma menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meniup wisel untuk memulakan perlumbaan.

Tepatnya, pada 20 Oktober ini, selepas 10 hari Parlimen dibubarkan serta-merta, SPR akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi menentukan beberapa tarikh penting berkaitan PRU-15.

Pertama, tarikh untuk hari penamaan calon, kedua tarikh untuk hari undi awal dan ketiga tarikh untuk pembuangan undi.

Seterusnya tempoh kempen. Ini yang pengundi muda terutama kategori Undi 18 perlu ketahui, kerana ada dalam kalangan mereka ini dihantui begitu banyak persoalan berkaitan pilihan raya.

Antaranya, pertama bila mengundi? Kedua, di mana hendak menyemak status pengundi? Ketiga, di mana hendak mengundi? Keempat, apa yang perlu dibuat ketika mengundi?

Ada banyak lagi tanda soal di benak fikiran mereka ini. Ada yang berasa gementar untuk bergerak ke pusat membuang undi kelak.

Ini cabaran bakal dihadapi oleh jentera pilihan raya semua parti politik sepanjang tempoh berkempen kelak.

Ia tugas berat kerana pengundi muda memang kosong pengalaman dalam proses mengundi, ekoran pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik.

Jika setiap petugas jentera pilihan raya bekerja keras siang dan malam, dan kemudian berupaya membantu golongan ini dalam hal ehwal proses pilihan raya ini, tidak mustahil undi golongan muda dapat ditarik untuk menyokong sesebuah parti.

Jadi, petugas jentera pilihan raya tidak boleh melihat enteng akan situasi ini kerana pengundi muda atau baharu akan dapat menambah undi untuk yang bakal berhormat kawasan Parlimen.

Mereka ini bukan pengundi di atas pagar, sebaliknya individu yang pertama kali yang akan merasai proses demokrasi dalam pemilihan wakil rakyat untuk memimpin negara untuk tempoh 1,825 hari akan datang.

Proses buang stigma tebuk atap

Setelah pengumuman pembubaran Parlimen, akhbar ini telah menemu bual masyarakat tempatan, wakil rakyat serta penganalisis politik bertanyakan pendapat mereka tentang perkara ini, lebih-lebih PRU dijangka diadakan dalam musim hujan.

Kami namakannya sebagai vox populi yang bermaksud pendapat umum.

Dalam banyak-banyak pendapat orang ramai, saya tertarik dengan satu komen: “Kita tiada pilihan untuk mengundi.

Jika tidak, sampai bila-bila pun isu-isu lapuk yang disorot selama ini, seperti kerajaan tebuk atap, kerajaan pintu belakang dan lain-lain akan berterusan menjadi hiasan bibir parti politik tertentu”.

Isu ini timbul apabila kerajaan dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri kelapan dikatakan tidak sah.

Kerajaan yang diibaratkan wujud disebabkan “Langkah Sheraton” yang merujuk kepada tindakan 11 ahli Parlimen yang meninggalkan PKR untuk bergabung dengan Bersatu, BN, Pas, GPS dan Warisan dalam usaha mengambil alih Putrajaya daripada Pakatan Harapan selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan Perdana Menteri.

Walaupun dengan pelbagai hujah untuk menangkis tanggapan itu, banyak pihak melihat kerajaan itu sebagai kerajaan pintu belakang atau tebuk atap, terutama di pihak lawan politik.

Pun demikian, tanggapan sedemikian tidak merencat usaha kerajaan membantu menyejahterakan rakyat terutama ketika rakyat bergelut untuk menyediakan makanan di atas meja, dek serangan virus Covid-19.

Selepas Muhyiddin meletak jawatan atas banyak desakan, kerajaan kemudian dipimpin pula oleh Ismail Sabri Yaakob — ibarat sirih pulang ke gagang apabila wakil Umno/BN dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

Apa-apa pun, setelah desakan demi desakan dari dalam parti sendiri, Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, walaupun ada pihak terutama Pakatan Harapan serta rakyat sendiri menolak untuk diadakan pilihan raya ekoran kebimbangan cuaca buruk hingga boleh menyebabkan banjir.

Bagi sesetengah pendapat, pilihan raya mungkin tidak perlu diadakan. Ada yang berpandangan peratusan keluar mengundi akan menurun — disebabkan faktor cuaca.

Namun bagi pendapat lain pula, PRU-15 penting bagi memastikan keabsahan kerajaan yang akan mentadbir negara lima tahun akan datang. Ini masa untuk membuang stigma kerajaan pintu belakang atau tebuk atap bagi memastikan kerajaan yang dipilih kelak benar-benar pilihan rakyat.

Lebih menarik, RUU Antilompat Parti yang sudah berkuat kuasa kini akan memastikan kerajaan yang dipilih kelak tidak akan tumbang disebabkan ada ahli Parlimen yang melompat parti.

PRU kali ini ialah satu tindakan untuk memilih kerajaan yang benar-benar dapat menyejahteraan rakyat terutama ekonomi negara yang terencat perkembangannya akibat pandemik Covid-19.

Undi dengan bijak Jadi, proses pengundian kali ini benar-benar memerlukan kebijaksanaan pengundi yang menjadi penentu pemilihan wakil rakyat yang akan mentadbir negara.

Tidak boleh mengundi sembarangan atau terpengaruh dengan dakyah yang sudah dan akan disebarkan melalui media sosial yang belum pasti kesahihnya.

Fikir dalam-dalam menggunakan akal yang waras sebelum jari dicelup dengan pewarna dan kemudian memangkah “X” pada kotak calon pilihan masing-masing. Fikir juga tempoh 22 bulan Malaysia diperintah Pakatan Harapan, seterusnya selama 17 bulan, dua minggu dan sehari Muhyiddin memimpin Malaysia dan kemudian Ismail Sabri mengambil alih jawatan Perdana Menteri mulai 20 Ogos 2021 hingga 10 Oktober lalu.

Satu tanda “X” yang anda berikan akan menentukan masa depan negara, juga anda sendiri.

Jadi, berusaha untuk keluar mengundi kelak. Usah jadikan cuaca sebagai halangan untuk kita tidak menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia. Ini sumbangan anda untuk negara!

Suara Sarawak