Gambar hiasan

SETIAP kali menuju pilihan raya, calon dan parti menggesa pengundi untuk keluar mengundi.

Turut dijelaskan proses demokrasi tersebut dalam kempen mereka dan pentingnya terlibat serta dalam menunaikan tanggungjawab mereka.

Kempen mahupun ceramah sering diperdengarkan dengan segala macam kritikan atau kecaman terhadap calon atau parti lawan yang lain ketika berkempen yang sering dijadikan tumpuan.

Antara isu yang selalu dimainkan seperti sekian-sekian parti itu ada berkaitan dengan komunis, perkauman dan sebagainya, tidak lain juga serangan berbentuk peribadi.

Aktiviti ceramah pula persis pesta muda-mudi, ada hiburan dan cabutan bertuah, tanpa mengambil kira pentingnya mendidik pengundi memilih calon yang layak.

Beberapa hari yang lepas dalam siaran langsung di media sosial, pereka grafik politik Fahmi Reza mengadakan kelas politik kepada para penontonnya.

Kredit harus diberikan kepada Fahmi yang sudi memberi penerangan dalam spektrum politik, haluan politik dan sebagainya meskipun penjelasan beliau tidak begitu tepat.

Masyarakat umum harus mengetahui bahawa spektrum sesuatu parti politik itu sama ada ke kiri, tengah atau kanan.

Spektrum politik itu terlalu luas untuk difahami, malah di Malaysia misalnya, tiada sesuatu parti politik itu terlalu ke kiri yang merujuk sebagai komunisme dan terlalu ke kanan yang merujuk kepada fasisme.

Selain, parti politik ini juga mempunyai ideologi masing-masing dalam soal sosial, ekonomi dan sebagainya.

Terlalu kompleks untuk dijelaskan dan difahami untuk semua orang maka wajar pendidikan politik bermula dari awal.

Justeru, dalam melahirkan pengundi yang bijak dan matang, pendidikan politik ini wajar diajar peringkat sekolah apatah lagi umur 18 tahun sudah boleh mengundi.

Jangan berikan alasan seperti cukup-cukup, ia berpolitik atau menyifatkan pendidikan politik ini sesuatu yang taboo untuk diajar.

Tidak perlu dijadikan syarat lulus peperiksaan, cukup sekadar memberi penerangan mengenai demokrasi dan sebagainya kerana tidak mahu perkara itu timbul membebankan pelajar sekolah dan guru.

Pemahaman yang rendah dalam politik akan menyebabkan pengundi muda mudah terikut-ikut, sukar menentukan keputusan sendiri dan tiada pemahaman akan proses demokrasi tersebut.

Disebabkan kurangnya pemahaman itu, kemungkinan pengundi memilih pemimpin yang mendukacitakan diangkat menjadi wakil rakyat, gagal menyerlah di Dun atau Parlimen dalam memperjuangkan untung nasib rakyat mereka.

Maka jadikan pendidikan politik di bangku sekolah sebagai instrumen penting mendidik generasi muda ini agar mempunyai pemahaman.

Ia bukan sekadar memangkah kertas undi, tetapi memberi gambaran kepada mereka berhubung politik, pilihan raya dan hak serta tanggungjawab sebagai warga negara.

Suara Sarawak