ANTARA wakil JKKK yang menerima geran daripada Douglas Uggah di Rumah Panjang Mendit Unsu, Penom, semalam

SPAOH: Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas mahu setiap pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) mencapai objektif, memberi manfaat besar kepada rakyat.

Justeru katanya, pemimpin masyarakat di akar umbi diingatkan agar melaporkan kepada wakil rakyat tentang sebarang kelewatan dalam pelaksanaan projek terutama RTP dan MRP.

“Apabila wakil rakyat menyediakan geran untuk pelaksanaan projek, kita mengharapkan ia dapat disiapkan dengan sempurna mengikut jadual.

“Oleh demikian, jika berlaku kelewatan, maka laporkan kerana jika tidak akan menggagalkan objektif kerajaan dalam menyediakan infrastruktur yang diperlukan rakyat,” katanya.

Adun Bukit Saban itu berkata demikian semasa majlis menyampaikan geran berjumlah RM300,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita melibatkan 94 rumah panjang di kawasannya di sini, semalam.

Menjelang musim monsun timur laut, beliau juga menggesa agar sebarang kerosakan pada jalan, jambatan atau jika berlaku hakisan tanah, dilaporkan segera.

Sementara, memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan tidak lama lagi, Uggah menggesa pengundi di Parlimen Betong untuk terus menjadikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai kubu kuat.

“Apabila Betong kekal berada di bawah tadbir kerajaan GPS, rakyat boleh melihat masa depan yang lebih baik,” katanya.

DOUGLAS UGGAH meninjau kerosakan Jalan Ulu Luban, malam tadi.

Suara Sarawak