Chieng Jen menunjukkan kereta dipandu mangsa diapit dua buah MPV ketika dalam perjalanan menuju ke pejabatnya.

KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen tampil membuat laporan polis mewakili seorang pemuda yang diperas ugut dan menjadi mangsa penipuan, di sini, hari ini.

“Pada Jun, mangsa telah ditawarkan pekerjaan tetap oleh sebuah syarikat dan membuka bank akaun untuk dikendalikan oleh syarikat sebagai pertukaran wang.

“Syarikat tersebut akan menyewa akaun bank kepada syarikat lain yang mencari akaun pihak ketiga untuk menjalankan apa sahaja perniagaan yang pada dasarnya meragukan.

“Beberapa bulan kemudian, mangsa menyedari pekerjaan tersebut menyalahi undang-undang setelah membaca pelbagai berita berhubung penipuan kebelakangan ini,” katanya kepada media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Padungan, di sini hari ini.

Beliau yang juga Adun Padungan berkata, mangsa mengambil keputusan untuk berhenti dari pekerjaan tersebut dan memaklumkan kepada majikannya.

Bagaimanapun, katanya, majikan tersebut memaklumkan kepada mangsa untuk membayar sejumlah RM100,000 sekiranya mahu berhenti bekerja.

“Bayaran RM100,000 tersebut adalah satu ugutan malah syarikat tersebut tidak pernah membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mangsa,” jelasnya.

Katanya, kejadian seperti ini harus dijadikan pengajaran buat golongan muda agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan penipuan yang menawarkan pemberian wang secara mudah.

Chieng Jen menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Padungan berhubung peras ugut dan penipuan

Suara Sarawak