KUCHING: Penasihat Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Willie Henry Majang percaya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamin, IR Christopher Gira Sambang sesuai diketengahkan sebagai Ahli Parlimen Selangau.

Katanya, kesediaan Christopher dalam menggalas tanggungjawab yang lebih berat harus dilihat positif oleh kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“GPS ketika ini memerlukan naratif politik baharu yang dinamik menampilkan calon muda berwibawa, berkaliber dan berkarisma seperti Christopher untuk diketengahkan sebagai Ahli Parlimen Selangau.

Penasihat Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Willie Henry Majang

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini sambil menambah keyakinan hujahnya dengan kemenangan majoriti diperoleh Christopher pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin terdahulu.

Katanya, pertembungan terdahulu melibatkan dua tokoh yang pernah mewakili kawasan tersebut dimenangi Christopher yang memenangi kerusi dengan majoriti besar 3,588 undi.

“Ini membuktikan kewibawaan “The Giant Killer” (Christopher) tidak perlu dipertikaikan lagi untuk merampas semula kerusi Parlimen Selangau.

“Selain itu, beliau juga dikenali di kawasannya dengan perwatakan yang sentiasa mendampingi rakyat, dan sifat rendah diri,” katanya.

Justeru, beliau percaya GPS memiliki peluang cerah untuk merampas kembali kerusi Parlimen itu.

Suara Sarawak