KEKAL…Chong (dua kanan) ketika membuat pengumuman tersebut dengan menampilkan calonnya (dari kiri) Alice, Oscar dan Chiew sambil disaksikan oleh veteran DAP Lim Kit Siang (tengah).

SIBU: Seperti jangkaan ramai, Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengumumkan penyandangnya bagi kerusi Parlimen Sibu dan Lanang kekal untuk mempertahankan kerusi parlimen masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan teka-teki apabila nama Oscar Ling Chai Yew untuk Parlimen Sibu manakala Alice Lau Kiong Yien di Lanang diumumkan oleh Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen pada majlis makan malam parti itu semalam.

Seorang lagi calonnya iaitu Tony Chiew Chin Sing diumumkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Bintulu.

Menurut Chong, pemilihan calon tidak dibuat dalam sekelip mata malah berdasarkan pencapaian.

“Mereka dipilih atas pencapaian, kerja keras berkhidmat untuk rakyat. Berilah peluang kepada anak muda kita ini,” katanya ketika berucap mengumumkan calon.

Pada PRU-14 2018, penyandang kerusi Parlimen Sibu, Oscar berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sibu dengan majoriti 11,422 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Beliau memperoleh 33,811 undi manakala calon BN-SUPP mendiang Datuk Andrew Wong Kee Yew memperoleh 22,389 undi.

Dua lagi calon Jamie Tiew Yen Huong dari Parti Keamanan Sarawak (PEACE) memperoleh 377 undi manakala Simon Tiong Ing Tung dari Parti Reformasi Negeri (Aspirasi) berjaya memperoleh hanya 176 undi.

Sementara itu, Alice memperoleh 29,905 undi untuk mempertahankan kerusi Parlimen Lanang dengan majoriti 14,546 undi dalam pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum lalu.

Kelvin Kong dari BN-SUPP memperoleh 15,539 undi manakala Priscilla Lau dari Parti Keamanan Sarawak (PEACE) memperoleh 628 undi.

Pada PRU-14, Chiew bagaimanapun ditewaskan oleh penyandang kerusi Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing dengan majoriti 7,022 undi.

Tiong meraih 27,076 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Chiew dan Cheng Lea Phing dari Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR).

Suara Sarawak