KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak mempertaruhkan muka baharu, Learry Jabul untuk bertanding di Parlimen Serian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dalam masa sama, parti itu turut mengekalkan tiga penyandang untuk mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Parlimen Stampin, Parlimen Bandar Kuching dan Parlimen Mas Gading.

(dari kiri) Chong, Learry, Mordi dan Kelvin ketika pengumuman calon DAP Sarawak bagi kerusi Parlimen Serian, Mas Gading, Bandar Kuching dan Stampin sempena Malam Mobilisasi DAP Sarawak di ibu pejabat DAP Sarawak, malam ini.

Parlimen Stampin akan ditandingi Chong Chieng Jen manakala calon bagi Parlimen Bandar Kuching ialah Dr Kelvin Yii dan Parlimen Mas Gading ialah Mordi Bimol.

Kesemua calon bagi empat kerusi itu diumumkan oleh Chong selaku Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak sempena Malam Mobilisasi DAP Sarawak di ibu pejabat DAP Sarawak, malam ini.

Dengan pengumuman itu, DAP Sarawak selesai mengumumkan kesemua calon bagi lapan kerusi yang akan ditandingi pada PRU-15 ini.

Terdahulu, Chong mengumumkan calon bagi Parlimen Lanang iaitu Alice Lau, Parlimen Sibu (Oscar Ling), Bintulu (Tony Chiew) dan Parlimen Sarikei Roderick Wong.

Suara Sarawak