KUCHING: Kemenangan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk kerusi Parlimen Stampin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan membentuk pasukan yang mantap bersama-sama Adun GPS dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Adun Kota Sentosa Wilfred Yap berkata, kejayaan GPS merampas kerusi Parlimen Stampin dapat menambah ahli baharu dalam pasukan tersebut, selain bersuara di Parlimen untuk menuntut lebih banyak peruntukan.

Katanya, Parlimen Stampin yang merangkumi Dun Batu Kawa, Batu Kitang dan Kota Sentosa memerlukan lebih banyak peruntukan untuk menyelesaikan isu dan masalah di Dun tersebut.

Yap (enam kiri) dan Khere Chiang (empat kiri) mendengar penjelasan projek daripada Penolong Jurutera MPP Mohd Aizat Wahab.

“Banyak isu perlu diselesaikan dan kebanyakan isu itu memerlukan peruntukan untuk kerajaan selesaikan.

“Jika kita ada ahli parlimen (GPS), kita akan dapat banyak peruntukan. Isu dan masalah di Dun dapat dipercepatkan dan fasa pembangunan akan menjadi lebih pantas,” katanya kepada media selepas menyaksikan penyerahan projek transformasi luar bandar (RTP) di Jalan Semaba, di sini hari ini.

Oleh itu beliau berkata, hanya GPS di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari mampu menerajui pembangunan.

“Kita memiliki pemimpin berwawasan dengan visi yang baik, justeru marilah bersama-sama memberikan sokongan kepada beliau,” katanya.

Terdahulu, Chieng Jen telah memenangi kerusi panas Parlimen Stampin pada PRU-14 dengan majoriti 14,221 undi (33,060 undi) menentang Presiden parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang memperoleh 18,839 undi.

Suara Sarawak