KUCHING: Malaysia negara demokrasi, justeru sesiapa pun boleh bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

“Terpulang kepada individu untuk bertukar kerusi Parlimen, inilah amalan demokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan berhubung tindakan Setiausaha Agung Parti Sarawak Bersatu (PSB) Baru Bian bertanding di Parlimen Lawas pada pilihan raya akan datang, di sini, hari ini.

Awang Tengah ketika ditemui wartawan

Awang Tengah merangkap Timbalan Premier Sarawak itu juga mendedahkan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meletakkan calon di semua 31 kawasan untuk bertanding.

“Bukan sahaja di Lawas, tetapi kita akan pastikan GPS memperoleh kemenangan besar di seluruh Sarawak.

“Berhubung tindakan calon pembangkang bertukar-tukar Parlimen untuk bertanding, itu terpulang kepada mereka.

“Kita sudah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan yang bakal berlaku pada PRU-15 ini,” ujarnya.

Ketika ditanya media sekiranya ada Adun yang bertanding di peringkat Parlimen, beliau menegaskan agar sama-sama menantikan pengumuman oleh Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam masa terdekat.

Suara Sarawak