KUCHING: Kehadiran pengundi di Sarawak dan Sabah berkemungkinan terjejas jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan begitu hampir dengan sambutan Hari Krismas.

Penganalisis politik Dr Ammar Redza Ahmad Rizal berkata ia sekaligus memberi impak dan mempengaruhi perjalanan pilihan raya, disebabkan sebilangan besar rakyat Sarawak dan Sabah khususnya yang berada di Semenanjung Malaysia mungkin berdepan dilema untuk balik mengundi.

Katanya ia kerana golongan beragama Kristian dari Borneo itu perlu memilih sama ada untuk balik pada hari mengundi atau Hari Krismas.

Dr Ammar Redza Ahmad Rizal

“Disebabkan oleh kos penerbangan, ia mungkin memberi masalah kepada mereka.

“Besar kemungkinan ada anggapan daripada balik pada waktu PRU, lebih baik balik pada Hari Krismas kerana perayaan itu lebih penting yang melibatkan hubungan keluarga dan saudara mara,” katanya yang dihubungi bagi mengulas mengenai pembubaran Parlimen yang berkuat kuasa hari ini.

Justeru, beliau berharap agar golongan pengundi berkenaan memahami kepentingan PRU, yang hanya berlaku lima tahun sekali bagi menentukan hala tuju negara, penentuan polisi kerajaan dan sebagainya.

“Jadi saya harap mereka mampu menilai perkara ini dan sedar bahawa tidak akan ada lagi drama lompat parti seperti PRU-14 yang lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Ammar menyifatkan PRU-15 begitu menarik kerana selain menyaksikan pelaksanaan larangan lompat parti, ia juga membabitkan Undi 18.

Justeru, beliau berkata ia akan mempengaruhi bagaimana situasi terutama di kerusi yang 50/50 antara Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Suara Sarawak