Gambar hiasan

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki harta curi sebuah kereta kancil.

Tertuduh Muammar, 33, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersama rakannya yang lain memiliki harta curi itu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tabuan, sekitar jam 4 pagi, 24 September lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Menurut fakta kes, pada 19 September lalu, sekitar jam 6.30 pagi, pengadu menyedari kereta miliknya yang diletakkan di hadapan rumahnya di Jalan Stapok Selatan telah hilang dicuri orang.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Semasa sebutan kes, rakan tertuduh bernama Mohamad Zulfiqa Yusuf, 29, mengaku tidak bersalah.

Mahkamah membenarkan Zulfiqa dibebaskan dengan jaminan tunai RM1,500 dan menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 24 November depan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak