Profesor Madya Dr Neilson Ilan Mersat.

KUCHING: Penguatkuasaan segera Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti perlu dilakukan kerana undang-undang itu sangat diperlukan lebih-lebih lagi menjelang sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Neilson Ilan Mersat berkata pelaksanaan undang-undang itu sangat baik untuk mendisiplinkan wakil rakyat yang tiada kesetiaan kepada parti mereka.

“Ini kerana parti tidak mampu mendisiplinkan ahli-ahli mereka. Jadi, undang-undang ini sudah tentunya diperlukan,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Menurut Neilson, Malaysia telah dibelenggu isu lompat parti dengan begitu lama sejak awal tahun 1990-an, dengan yang paling ketara selepas pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Justeru, beliau menegaskan sepatutnya banyak masa diperlukan untuk pembangunan negara selepas pasca-Covid-19 daripada menyelesaikan masalah akibat daripada lompat parti oleh wakil rakyat.

“Dalam suasana yang dikenali sebagai turun naik, ketidakpastian, kerumitan dan kekaburan (VUCA) yang kita alami seperti sekarang, sudah tentu kita memerlukan kesepaduan untuk membangun dan mara ke hadapan.

“Masa untuk berpolitik perlu dikurangkan,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata akta yang telah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu masih tiada tarikh khusus bagi dikuat kuasa ketika ini.

“Ia (kuat kuasa akta) akan berlaku sebelum itu (PRU15). Jadi, semua perlu bersabar dan saya akan tampil sekali lagi (untuk maklumkan mengenai perkara itu) dalam masa terdekat,” katanya.

Suara Sarawak