SPAOH: Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengingatkan rakyat agar tidak mengambil mudah serangan pembangkang yang melemparkan tuduhan serta hasutan tidak berasas kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Katanya, akan ada pelbagai bentuk serangan bagi mengikis sokongan terhadap GPS.

“Justeru, jangan diendahkan kerana ditakuti akan memecahbelahkan kita, seterusnya mengganggu keharmonian dan hubungan antara kaum,” katanya.

DOUGLAS UGGAH serta tetamu lain mengibarkan bendera semasa menyanyikan lagu GPS pada kursus ejen pengundian dan pengira undi bagi kerusi Parlimen Betong di sini, hari ini.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata demikian semasa merasmikan kursus bagi ejen pengundian dan pengira undi bagi kerusi Parlimen Betong di sini, hari ini.

Adun Bukit Saban itu mengulangi gesaan agar pengundi di Parlimen Betong terus menyokong GPS, tidak mengira siapa yang dicalonkan kelak.

“Ayuh, kekalkan Parlimen Betong sebagai kubu kuat GPS dan terus bekerja keras serta membuat pilihan bijak pada 19 November depan.

“Inilah peluang kita menterjemahkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan GPS kerana melantik Adun Layar Datuk Gerald Rentap Jabu dan Adun Saribas Mohammad Razi Sitam sebagai timbalan menteri selepas masing-masing menang bergaya pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) lalu,” ujarnya.

Uggah yakin calon GPS akan melakar kemenangan besar pada PRU-15, melihat kepada trend pengundi yang telah menunjukkan sokongan kepada kerajaan GPS.

Suara Sarawak