PERIKSA…Anggota polis menjalankan pemeriksaan.

PADAWAN: Seorang penjaga dan pekerja bistro ditahan polis hari ini kerana menjalankan operasi tanpa lesen hiburan yang sah.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berumur 37 dan 26 tahun ditahan menerusi serbuan pada sebuah bistro di Jalan Bandar Baru Batu Kawa, di sini.

Katanya, serbuan dijalankan oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan kira-kira jam 2.55 pagi.

“Pasukan serbuan turut merampas laptop, soundcraf, mikrofon, pengawal mikrofon, pembesar suara dan pemacu kilat masing-masing satu unit serta dua keping resit tertera nama premis tersebut.

“Sementara, semakan terhadap kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abang Zainal berkata, kedua-dua suspek serta barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 5(1) Ordinan Hiburan 2000.

SERBU…Sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan melakukan pemeriksaan pada sebuah bistro di Jalan Bandar Baru Batu Kawa.

Suara Sarawak