KUALA LUMPUR: Pasukan Boccia Para Sukma Sarawak tidak sabar untuk menuai pingat di temasya Para Sukma XX MSN, Kuala Lumpur 2022.

Pengurus pasukan, Chi Poh Yung memberitahu mereka meletakkan sasaran untuk memenangi sekurang-kurangnya dua pingat emas bagi membantu kontinjen Sarawak meraih kejuaraan ke-14.

“Kami cuba untuk memenangi sekurang-kurangnya dua pingat emas, satu daripada acara individu dan satu lagi menerusi acara berpasukan.

SEDIA GEGAR…Datuk Sri Fatimah Abdullah bersama-sama atlet dan pegawai pasukan Boccia Para Sukma Sarawak.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh menyatakan buat masa ini siapa yang berpotensi memenangi pingat kerana semua atlet mempunyai peluang untuk menang,” ujarnya kepada Arena Suara Sarawak.

Beliau amat yakin atlet yang dipertaruhkan dalam kejohanan kali ini mampu mencapai sasaran tersebut berdasarkan prestasi hebat dipamerkan dalam beberapa kejohanan peringkat kebangsaan sebelum ini.

Menurut Chi, ini merupakan penampilan kali kedua mereka menyertai pada Para Sukma selepas temasya seumpamanya di Perak pada 2018.

Skuad Boccia Para Sukma Sarawak kali ini diperkuatkan seramai 11 atlet yang mengambil bahagian dalam sembilan acara.

Atlet terbabit ialah Abdul Razzaq Abdul Rahman, Carlo Jay Chai Ping Yuan, Jeremy Lester Peter, Jervis Chi Hong Zhe, Tay Boon Seng, Urie George, Angeline Melissa Lawas, Dale Adelaide Teri, Nur Aisyah Madzelan, Sheirviana Mathew dan Willyien Cliff Honseng.

Suara Sarawak