OPERASI…Pasukan bomba cuba menyelamatkan mangsa tersepit yang masih terperangkap

SIMUNJAN: Dua lelaki mengalami kecederaan selepas lori muatan sawit dinaiki mereka terbabas masuk ke dalam parit berhampiran Jalan Kampung Sebauh, kira-kira jam 8 malam semalam.

Kedua-dua mangsa tersepit di ruangan kabin lori sebelum pasukan operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan tiba bagi membantu mengeluarkan mangsa dari kenderaan.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, salah seorang mangsa, pemandu lori berusia 53 tahun berjaya dikeluarkan sekitar jam 12.45 pagi.

“Mangsa masih sedar dan mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan sudah dibawa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan ambulans ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pagi tadi.

Sementara itu, kenyataan itu mengesahkan seorang lagi mangsa iaitu kelindan lori masih lagi terperangkap di bahagian enjin lori.

Setakat jam 6.30 pagi, pihak bomba masih menunggu bantuan kren bagi mengalihkan lori untuk memudahkan kerja-kerja mengeluarkan mangsa.

Operasi menyelamat turut dibantu oleh BBP Serian dan pihak polis yang turut berada di lokasi kejadian.

Suara Sarawak