JIKA namanya dicalonkan semula, Datuk Henry Sum Agong akan bertanding untuk penggal keenam di Parlimen Lawas.

Fakta sebenarnya, selama dua penggal iaitu pada tahun 1999 hingga 2004 dan 2004- 2008, ahli Parlimen ini memimpin Parlimen Bukit Mas, kawasan yang sebelumnya merangkumi Limbang dan Lawas.

Kawasan parlimen itu sebelumnya diwakili oleh Michael Lisa Kaya.

Sebelum parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu, Henry merupakan Timbalan Menteri Pengangkutan, sejak Mac 2020.

Malah beliau juga menjawat Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, sebelum itu, ketika negara ini masih diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Henry mula dilantik menjawat Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada Jun 2016 hingga Mei 2018 ketika pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Razak — menjadikan beliau anak Lun Bawang pertama berstatus ahli Kabinet Persekutuan.

Kerana pengalaman dan kematangannya, ahli politik yang berlatarbelakangkan kejuruteraan ini perlu dilihat sebagai bukan pemimpin sebarangan.

Beliau seorang yang berjiwa besar, dan tidak mudah melatah biarpun genap berusia 76 tahun pada 18 Februari lalu.

Malah perwatakannya yang tenang, menjadikan beliau amat disenangi, terutama oleh Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak, yang menjadi “ketua” kepada pentadbiran di kawasan utara negeri ini.

Beliau pernah menang tanpa bertanding dalam PRU 2004 di Parlimen Bukit Mas, dan pada 2018, beliau mengekalkan kerusinya dengan bergaya, apabila memperoleh 10,037 undi bagi menewaskan cabaran Danny Piri dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang sekadar membawa pulang 4,037 undi.

Hingga hari terakhir bergelar ahli Parlimen, Henry yang dilihat sebagai seorang yang setia, kalis isu di kawasannya.

Beliau juga dilihat sebagai seorang yang rajin turun padang, dan penyelesai masalah yang melibatkan komuniti kecil tersebut di Lawas.

Namun kekuatan sebenarnya ialah pada hubungan akrab dengan mentornya, Awang Tengah, dan Henry selalu membantunya dalam merancang pembangunan di kawasan tersebut.

Pada 5 November kelak, Henry dijangka dicabar seorang lagi tokoh politik “veteran”.

Membawa bendera Parti Sarawak Bersatu (PSB), Baru Bian, 64, dijangka akan beralih daripada kerusi yang dimenanginya pada 2018 lalu, Parlimen Selangau.

Kehadiran Baru Bian di sini bukan sesuatu yang menghairankan kerana beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Ba’kelalan (salah satu Dun dalam Parlimen Lawas) dan telah diterima ramai di situ.

Sementelah, Parlimen Selangau bukanlah padang permainan sebenarnya, tetapi dimenangi sebagai mengambil kesempatan terhadap krisis kepimpinan Parti Rakyat Sarawak (PRS) di situ pada 2018.

Baru yakin, beliau tidak akan dapat mempertahankan kerusi yang pernah dikuasai Datuk Joseph Entulu Belaun itu, justeru mengambil keputusan untuk kembali ke gelanggang permainan asalnya.

Realitinya, Baru bukan baharu dan asing di Lawas. Bekas Menteri Kerja Raya Malaysia pertama berketurunan Lun Bawang ini juga amat dihormati oleh komuniti setempat.

Sebagai anak luar bandar, beliau mengembara ke banyak daerah dan kampung untuk menerima pendidikan dan akhirnya, lulus Sijil Tinggi Persekolahan (HSC) pada 1978, sebelum dilantik bekerja sebagai cikgu sementara di SMK Medamit, Limbang.

Baru menyambung pendidikan tinggi di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam dan memperoleh Diploma Undang-Undang pada 1984, sebelum melanjut dan memperoleh ijazah undang-undang di Melbourne University , Australia pada tahun berikutnya.

Beliau kemudian memulakan amalan perundangan di Kuala Lumpur, sebelum berpindah ke Kuching pada 1987.

Pada 1990, beliau menjadi rakan kongsi firma Messrs Anthony Ting, Baru Bian & Co., Kuching sebelum pada tahun 1992, beliau membuka syarikatnya sendiri, Messrs Baru Bian Advocates & Solicitors, juga di Kuching yang beroperasi sehingga kini.

Seperti Henry, Baru juga bukan orang kecil dalam politik. Beliau pernah menjadi Naib Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dari tahun 1992 hingga 1994, selain menjawat Ahli Majlis Tertingginya dari tahun 2000 hingga 2003.

Baru memulakan kerjaya politiknya dengan mencabar Awang Tengah pada 1991 di Dun Lawas, sebelum kalah dengan majoriti 3,643 undi.

Pada September 2004, beliau bertanding sebagai calon bebas di Pilihan Raya Kecil Ba’kelalan berikutan kematian penyandangnya, Dr. Judson Sakai pada Julai 2004.

Sekali lagi beliau tewas, dan kali ini kepada Datuk Nelson Balang Rining.

Pada Mei 2006, beliau berdiri sebagai calon SNAP, dan mencabar Nelson sekali lagi di Dun Ba’kelalan, dan kali ini beliau kalah tipis 475 undi.

Selepas menyertai PKR pada April 2008 dan mengetuainya setahun kemudian, Baru bagai mendapat “nafas baharu”.

Beliau bertanding sekali lagi di kerusi Ba’kelalan pada 2011 dan menang dengan majoriti 473 undi menewaskan Willie Liau (BN-PDP).

Beliau bertembung sekali lagi dengan anak saudaranya itu pada 2016, dan kali ini menang dengan kelebihan 538 undi.

Pada tahun lalu, beliau menambah majoritinya kepada 680 undi, dengan menewaskan Sam Laya (GPS), Pita Asut (PBK), Marti Labo (PKR) dan Agnes Padan (Bebas).

Pada 2013, beliau bertanding di Parlimen Limbang untuk mencabar muka baharu PBB-BN, Hasbi Habibollah, seorang jurutera. Ternyata, Hasbi bukan lawan beliau apabila mengutip 12,999 undi berbanding Baru, 4,698 undi.

Pun begitu pada PRU-14, beliau bernasib baik, apabila berjaya memanfaatkan kemelut PRS untuk menewaskan calon muka baharu, Rita Sarimah (BN-PRS) di Parlimen Selangau, dengan majoriti 486 undi.

Ia keputusan yang sangat dramatik memandangkan kerusi tersebut adalah milik majoriti Iban, sedangkan Baru merupakan Orang Ulu; dengan suasana kempen dipenuhi dengan elemen sabotaj, sengketa dan dendam.

Keputusan pilihan raya yang penuh dengan warna-warni itu juga, akhirnya membolehkan Baru yang juga Pengerusi PKR Sarawak pada waktu itu dilantik sebagai Menteri Kerja Raya oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-7, Tun Mahathir Mohamad.

Pada PRU-14, Henry memenangi kerusi parlimen paling utara Sarawak ini dengan mengutip majoriti 6,000 undi.

Ketika itu, kawasan itu mempunyai 21,297 pemilih berdaftar.

Dengan pendaftaran automatik sejak Januari lalu, jumlah pemilih dikatakan bertambah dengan drastik.

Dan ini menghadirkan saingan menarik kerana kedua-dua “naga Lun Bawang” ini telah membina “nama” di peringkat nasional.

Di atas kertas, Henry ada kelebihan selaku penyandang, memandangkan majoriti yang rendah diperoleh Baru sebelum ini, sedang di kerusi Dun Bukit Sari, yang dimenangi Awang Tengah, majoritinya menjangkau 6,000 undi.

Suara Sarawak