Datuk Sri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya, Datuk Sri Fadillah Yusof merupakan calon yang berpotensi menang jika dicalonkan semula untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Demikian bayangan yang diberikan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Majlis Makan Malam Lan Berambeh Anak Sarawak 2022 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, malam tadi.

“Fadillah, Insya-Allah akan menang kalau dicalonkan,” katanya ringkas sambil ucapan itu mendapat tepukan gemuruh oleh para tetamu yang hadir pada majlis tersebut.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, serta barisan pemimpin tertinggi GPS serta wakil-wakil rakyat Sarawak.

Pengumuman tersebut sekali gus memberi bayangan bahawa Ketua Whip GPS itu mungkin dinamakan semula oleh GPS untuk mempertahankan kerusinya pada PRU-15 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Petra Jaya sentiasa menjadi kubu kuat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sejak pertama kali ditandingi pada PRU tahun 1990.

Untuk rekod, Fadillah yang juga Naib Yang Dipertua Kanan PBB mewakili Petra Jaya selama empat penggal sejak memenangi kerusi itu kali pertama pada PRU-11 tahun 2004.

Pada 2008, Fadillah yang menang dalam PRU-12 telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, kemudian menggalas portfolio menteri penuh, Menteri Kerja Raya pada 2013 selepas memenangi kerusi sama pada PRU-13.

Pada PRU-14, Fadillah sekali lagi mempertahankan kerusinya dalam pertandingan tiga penjuru menentang Nor Irwan Ahmat Nor dari Parti Keadilan Rakyat(PH) dan Hamdan Sani dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan majoriti 15,017 undi.

Tun Taib, Abang Johari dan Fadillah (kanan) pada Majlis Makan Malam Lan Berambeh Anak Sarawak 2022 di Kuala Lumpur, malam tadi.

Suara Sarawak