Fadillah tepis kenyataan tidak masuk asal PBK

KUCHING: Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof membidas kenyataan tidak lojik Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan mendakwa Kerajaan Persekutuan yang kuat tidak akan memberi manfaat kepada negeri ini.

Naib yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu menegaskan, malah rekod prestasi membuktikan sekumpulan ahli parlimen GPS yang kuat dalam Kerajaan Persekutuan telah membawa lebih banyak faedah kepada Sarawak.

“Kenyataan Presiden PBK kepada rakyat Sarawak untuk melemahkan kerajaan dengan tidak mengundi GPS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) merupakan idea putar belit beliau yang
karut dan langsung tidak masuk akal.

“Sebaliknya peristiwa dan rekod prestasi sejak pembentukan GPS pada 2018 membuktikan bahawa sekumpulan ahli parlimen yang kuat dalam Kerajaan Persekutuan telah membawa kepada lebih banyak faedah kepada negeri ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya itu berkata demikian menepis dakwaan Voon hari ini yang menyatakan Kerajaan Persekutuan kuat tidak semestinya baik untuk Sabah dan Sarawak.

“Perkara lojik yang boleh difahami oleh semua kecuali Voon bahawa GPS yang kuat adalah suara yang lebih kuat untuk Sarawak, sementara GPS yang lemah merupakan suara yang lebih lemah untuk Sarawak dalam Kerajaan Persekutuan.

“Sebilangan besar Ahli Parlimen daripada GPS dalam Kerajaan Persekutuan telah, boleh dan
akan membawa suara yang lebih kuat dan lebih tegas dalam tuntutan untuk Sarawak dan semua rakyatnya,” tegasnya.

Terdahulu, Voon menggesa pengundi negeri ini untuk melemahkan kerajaan GPS supaya Kerajaan Persekutuan atau mana-mana parti politik Semenanjung yang ingin membentuk kerajaan sentiasa bimbang akan kehilangan sokongan daripada rakyat Sarawak.

Suara Sarawak