MARA KE FINAL…Barisan pemain Fadzio FT.

KUCHING: Skuad Fadzio FT berjaya mara ke peringkat akhir Pertandingan Bola Sepak (Double Knock Out) Daerah Lundu, Piala Adun Tanjong Datu 2022, Azizul Annuar Adenan.

Barisan serba muda pimpinan Patrick Hong Ah Kui itu memuktamadkan slot untuk pemburuan gelaran juara selepas menumpaskan Seabird FC (2-1) pada perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Lundu hujung minggu lalu.

Dua gol Fadzio FT yang masing-masing dijaringkan Azri Haziq Baraham@Anuar minit ke-12 dan Harith Hazwan Zulkarnaen minit ke-63.

“Gembira apabila kita berjaya meraih kemenangan yang sekali gus layak ke pentas final,” ujar pengurus pasukan, Wan Asri Wan Ismail kepada Arena Suara Sarawak.

Katanya, pemain beraksi mengikut pelan yang dirancang dan berjaya menterjemah peluang dimiliki dengan gol.

Menurut Asri, pemainnya telah diberi tentangan sengit sepanjang perlawanan namun barisan kesebelasan yang diturunkan berjaya mengatasi musibah berkenaan.

Lawan Fadzio FT untuk perebutan gelaran juara yang dijadual berlangsung 30 Oktober ini masih belum diketahui.

Apa yang pasti, calon pasukan yang berentap pada perlawanan akhir itu kelak hanya akan dapat selesai pertembungan antara Selara FC dan Seabird.

Juara pertandingan tersebut akan membawa hadiah wang tunai RM3,000, manakala, RM2,000 dan RM1,000 untuk pasukan yang berjaya muncul naib juara serta tempat ketiga.

Di samping itu, hadiah berupa piala dan pingat turut disedia kepada kesemua tiga pasukan terbabit.

Suara Sarawak