KUCHING: Sektor pelancongan Sarawak dilihat sedang berkembang pesat dengan penganjuran pelbagai program bertaraf antarabangsa.

Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman berkata ia memberikan impak positif kepada setiap pemain industri untuk bangkit selepas berdepan kemelut ekonomi susulan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

“Sekarang kita boleh lihat sendiri bagaimana industri pelancongan di Sarawak mula meningkat, ia memberikan kesan yang baik bukan sahaja untuk pengusaha hotel atau industri berkaitan, tetapi memberi sumbangan positif kepada peniaga-peniaga kecil khasnya.

Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman ketika ditemui semasa menghadiri Festival Jazz Kuching 2022

“Apabila ramai pengunjung hadir ke Sarawak, sudah tentu mereka akan berbelanja, jadi kesannya meliputi semua industri yang tidak hanya terhad kepada sektor pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri Festival Jazz Kuching 2022 di Hotel Grand Margherita, di sini, hari ini.

Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berharap agar lebih banyak program bertaraf antarabangsa dapat dianjurkan di Kuching khususnya dan Sarawak amnya.

Festival Jazz Kuching 2022 membuka tirainya bermula 28 dan 29 Oktober, menampilkan barisan penghibur hebat dari pelbagai negara.

Antara artis Jazz terkemuka termasuk Afgan dari Indonesia, Noryn Aziz dari Malaysia, Phum Viphurit (Thailand), Freyja Garbett (Australia), The Arkroyal (Singapura), Ky Den (Malaysia), Ushera (Malaysia), Hendri Rotinsulu & Jazmint Band (Indonesia), Leon Sapphire (Malaysia), dan Ta’Dan (Malaysia).

Suara Sarawak