Pemangku Pengarah Kastam Sarawak, Mohd Nadzri Ariffin (tiga kiri) bersama-sama Timbalan Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Ahmad Mazuki Yasin dan pegawai JKDM yang lain menunjukkan rotan yang dirampas di Stor Penguatkuasaan JKDM, Jalan Demak Laut, Kuching.

KUCHING: Taktik sebuah syarikat menyeludup lapan kontena rotan ke luar negara dengan membuat pengikraran palsu serta perakuan tidak benar terbongkar apabila dikesan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak.

Kesemua rotan dianggarkan seberat 106,730 kilogram bernilai RM586,920 dan cukai yang terlibat sebanyak RM144,085 itu ditahan oleh Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Kuching semasa melakukan pemeriksaan di Pelabuhan Senari, di sini pada jam 11.15 pagi, 21 September lalu.

Pemangku Pengarah Kastam Sarawak, Mohd Nadzri Ariffin berkata kesemua rotan itu telah diikrar sebagai ‘pulp paper’ untuk dieksport ke luar negara namun pemeriksaan awal mendapati barang yang diikrar tidak sama seperti dalam dokumen Kastam yang diikrar oleh syarikat.

“Oleh demikian, semua kontena berkenaan ditahan untuk pemeriksaan lanjut di Stor Penguatkuasaan JKDM, Jalan Demak Laut, Kuching dan hasil pemeriksaan rapi menemui muatan rotan tanpa permit yang sah daripada agensi berkaitan,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan JKDM, Jalan Demak Laut di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Ahmad Mazuki Yasin.

Mohd Nadzri menambah berdasarkan pemeriksaan oleh JKDM mendapati kesemua rotan itu belum lulus Kastam kerana tidak mempunyai permit yang sah daripada Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) serta duti eksport belum dibayar.

Sehubungan itu, katanya ejen penghantaran serta pemilik syarikat terbabit iaitu dua lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun ditahan.

Katanya modus operandi syarikat terbabit adalah dengan membuat pengikraran palsu serta perakuan tidak benar dengan mengikrar barangan sebagai ‘pulp paper’ bagi tujuan mengelak daripada mengemukakan permit daripada agensi berkaitan serta mengelak daripada membayar cukai.

Justeru, Mohd Nadzri berkata kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Suara Sarawak