BERUCAP… Abang Johari berucap sempena Majlis Penutupan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong, di Dewan Datuk Patinggi Ali dekat sini, hari ini. FOTO: RAMIDI SUBARI

GEDONG: Majlis Daerah Gedong ditubuhkan sebagai usaha untuk merancakkan lagi pembangunan di kawasan ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara tersebut susulan kelulusan penubuhannya tiga minggu lalu oleh Kabinet Sarawak.

“Dengan penubuhan Majlis Daerah Gedong, ahli majlis atau kaunselor akan dilantik dan mereka akan membantu kita untuk melaksanakan pembangunan yang sudah dirancang di daerah ini,” katanya.

Abang Johari yang juga Adun Gedong berkata demikian pada Majlis Penutupan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong, di Dewan Datuk Patinggi Ali dekat sini, hari ini.

Tambahnya, daerah tersebut juga sudah mempunyai pembangunan yang dibawa oleh pemimpin terdahulu.

“Justeru, saya akan meneruskan perubahan di Gedong ke era yang lebih moden. Dan itulah sebabnya apabila saya dipilih sebagai Adun Gedong, perkara pertama yang saya lakukan adalah menaik taraf Gedong menjadi daerah penuh.

“Kita juga bekerjasama dengan rakan seperjuangan di Simunjan, Batang Sadong termasuk Kota Samarahan dengan terus melaksanakan pembangunan,” ujarnya.

Selain Gedong, empat lagi kawasan iaitu Siburan, Sebuyau, Lingga, dan Pantu turut dinaik taraf sebagai daerah penuh dan Balai Ringin sebagai daerah kecil.

RAKAMAN KENANGAN… rakaman kenangan pada Majlis Penutupan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong, di Dewan Datuk Patinggi Ali dekat sini, hari ini.FOTO: RAMIDI SUBARI 

 

RAKAMAN KENANGAN… rakaman kenangan pada Majlis Penutupan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong, di Dewan Datuk Patinggi Ali dekat sini, hari ini. FOTO: RAMIDI SUBARI

Suara Sarawak