Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Samarahan berjaya menumpaskan Geng Fuad yang aktif mencuri motosikal sejak pertengahan tahun ini.

KOTA SAMARAHAN: Menyasarkan motosikal jenis Honda dan Modenas yang diletak di kawasan sunyi, mematahkan dan melonggarkan bar pemegang sebelum dilarikan antara modus operandi ‘Geng Fuad’.

Empat ahli kumpulan tersebut aktif mencuri motosikal sejak pertengahan tahun ini di Daerah Kota Samarahan dan Kuching.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Brodie Brangka berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan telah berjaya menumpaskan ‘Geng Fuad’menerusi tangkapan terhadap ketuanya.

Katanya, suspek, 25, ditahan di Kampung Sebandi Matang, Asajaya pada 28 Oktober lepas, kira-kira jam 7 pagi menerusi Op Lejang.

“Hasil soal siasat dijalankan, pihak polis berjaya menangkap tiga lagi lelaki, berumur lingkungan 21 hingga 27 tahun.

“Enam buah motosikal dan dua rangka motosikal turut dirampas dan kesemua barangan rampasan telah di bawa ke IPD Kota Samarahan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di IPD Kota Samarahan, di sini hari ini.

Brodie berkata, sejumlah enam kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, membabitkan empat di Kota Samarahan dan dua di Kuching.

“Tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

“Manakala semua suspek ditahan reman sehingga 1 November ini dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan suspek yang lain terlibat dalam kes ini,” tambahnya.

Brodie (dua kiri) menunjukkan motosikal yang dicuri Geng Fuad.

Suara Sarawak