KUCHING: Seorang guru lelaki dijatuhi hukuman penjara 90 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar lelaki.

Perintah itu dibuat oleh Hakim Afidah Abdul Rahman selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan tertuduh berusia 32 tahun.

Afidah berkata, selepas mendengar dan meneliti secara maksimum hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan mahkamah, beliau memutuskan pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang berasal dari Sabah itu.

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen menuju ke tempat tahanan sementara mahkamah. – Foto Ghazali

Menurut beliau, pembelaan guru terbabit menyatakan dia tiada di tempat kejadian dan sedang tidur di rumah semasa melakukan kesalahan adalah tidak dapat diterima.

Ini berikutan, tiada notis alibi diserahkan kepada mahkamah bagi membuktikan kenyataan tertuduh.

Mengikut keenam-enam pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh kemaluan, memeluk dan meraba paha enam orang mangsa berusia 14 tahun hingga 16 tahun.

Dia melakukan perbuatan terkutuk itu dalam kejadian berasingan pada bulan Mac, April dan Mei 2018 di beberapa tempat di asrama lelaki sekolah berasrama penuh, di sini.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 Akta yang sama.

Tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan bagi setiap satu pertuduhan dan berjalan secara berasingan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff manakala tertuduh diwakili Peguam Hani Iryani Bonny.

Suara Sarawak