Harga minyak masak 5kg diturunkan kepada RM31.50 mulai 8 Oktober 2022

KUCHING: Harga minyak masak tulen kemasan botol lima kilogram (5kg) sekali lagi diturunkan menjadi RM31.50 berkuat kuasa 8 Oktober hingga 7 November 2022.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan memaklumkan, harga tersebut ditetapkan mengikut Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2022.

“Bagi botol satu kg ditetapkan pada harga RM7.10 manakala botol dua dan tiga kg, minyak masak sawit tulen dijual pada harga maksimum masing-masing berjumlah RM13.50 dan RM19.90,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, harga minyak masak botol 5 kg diturunkan kepada RM33.50 berbanding RM34.70 untuk tempoh pelaksanaan antara 8 September hingga 7 Oktober.

Dalam pada itu, KPDNHEP menegaskan mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, sekali gus dikenakan penalti.

Jelas kenyataan itu, bagi kesalahan individu, boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Sementara bagi syarikat yang melanggar peraturan terbabit boleh didenda sehingga RM500,000.

“Justeru, KPDNHEP berharap penetapan harga baharu bagi minyak masak tulen kemasan botol berupaya memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia,” kata kenyataan itu.

 

Suara Sarawak