SERIAN: Pemenang tempat pertama kategori bina badan atas 75kg, Hwang Chee Yan, mengungguli juara keseluruhan kejohanan bina badan ‘The Beast Serian’ yang berlangsung di Dewan Masyarakat Serian, semalam.

Pemuda berasal dari Serian itu dinobatkan sebagai ‘The Beast Serian’ 2022 mengalahkan hampir 50 peserta yang turut bertanding dalam kategori pilihan masing-masing.

JUARA…Hwang Chee Yan memegang piala COC dan piala pusingan DSRRJ

Selain juara bagi kategori atas 75kg, Chee Yan turut membawa pulang dua lagi piala iaitu piala ‘Champion of Champion’ dan piala pusingan Datuk Seri Richard Riot Jaem (DSRRJ).

“Ini merupakan anugerah kemenangan atas usaha dan dedikasi diri sendiri dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan selama berkecimpung dalam sukan bina badan.

MENANG…Pengerusi pengelola The Beast Serian 2022, Mohd Hadi Moss bersama-sama para pemenang kategori bawah 65kg dalam majlis penyampaian hadiah kepada pemenang

“Sudah pasti perjalanan ini tidak akan terhenti di sini sahaja dan saya akan sedaya upaya memartabatkan sukan bina badan Serian ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya kepada Suara Sarawak.

Sementara, pengerusi pengelola, Mohd Hadi Moss menegaskan, usaha mempergiatkan penglibatan belia Serian diharap dapat diteruskan di peringkat yang lebih tinggi.

Jelas beliau, kejohanan tersebut berjaya mengetengahkan beberapa bakat baharu dalam kalangan belia Serian untuk berkecimpung dan bersaing dengan atlet-atlet bina badan berpengalaman.

“Kita mahu membawa anak Serian dalam sukan bina badan ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Suara Sarawak