KUCHING: “Jika saya berpeluang bekerja dengan Petronas di Menara Kembar Petronas suatu hari nanti, saya ingin membawa ibu bapa saya tinggal bersama-sama di Kuala Lumpur supaya mereka tidak perlu lagi menjual laksa,” kata Jasmine Kuek Ern Yee, remaja berusia 18 tahun itu.

Berazam untuk mengubah nasib keluarga, gadis kelahiran Kuching itu belajar bersungguh-sungguh dan memperoleh keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini. Lebih manis, beliau adalah salah seorang penerima Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) tahun ini.

Jasmine berkata, “Saya bukan berasal dari keluarga kaya. Kedua-dua ibu bapa saya adalah penjaja dengan pendapatan kasar bulanan RM2,500. Ayah saya mempunyai pelbagai masalah kesihatan termasuk kencing manis dan gout. Dia juga pernah menjalani pembedahan jantung 17 tahun lalu selepas saya dilahirkan.

Penerima PESP 2022 Jasmine Kuek Ern Yee dari Kuching bersama kedua ibu bapanya

“Ibu bapa saya bersusah payah membayar yuran sekolah dan selepas SPM, mereka berkata mereka tidak mampu menanggung perbelanjaan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Itu membuatkan saya risau. Saya amat berasa lega kerana mendapat tajaan Petronas untuk mendapat segulung ijazah,” tambahnya.

Bekas pelajar aliran Sains dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Kuching High ini meminati subjek matematik dan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan nombor. Dia mendapati minatnya dalam jurusan perakaunan selepas dia meminjam dan membaca buku mengenai subjek itu daripada rakannya.

Jadi, wajarlah Jasmine meneruskan minatnya dengan mendaftarkan diri dalam bidang perakaunan selepas SPM dan terpilih melanjutkan pelajaran di Kolej Sunway. Dia akan melanjutkan pelajaran di Universiti Sunway.

Impian bergelar akauntan, demi balas jasa ibu

Bagi Louisa Susana Jimmy dari SMK Rosli Dhoby Sibu, yang akan mengikuti program asasinya di Universiti Malaya, PESP telah membolehkannya mengejar impiannya untuk menjadi seorang akauntan.

Louisa Susana Jimmy (kiri) mengikuti program asasi di Universiti Malaya di bawah tajaan Petronas.

Ibunya, Upon Gerinang, 54, merupakan ibu tunggal yang bekerja sebagai petani. “Saya berasal dari keluarga miskin. Perjuangan dan pengorbanan ibu membesarkan saya dan adik-beradik menguatkan lagi motivasi saya untuk terus cemerlang dalam pelajaran,” kata Louisa yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik.

Atas kerja keras dan prestasi akademik yang baik di bangku sekolah, Louisa menerima biasiswa kerajaan ketika bersekolah menengah. Sebagai penerima PESP, dia kini boleh menyambung pelajaran ke peringkat ijazah dalam bidang perakaunan. “PESP akan menanggung perbelanjaan universiti saya dan membantu mengembangkan kemahiran kepimpinan saya melalui pelbagai program pembangunan pelajarnya. Selepas saya tamat pengajian, saya berharap dapat bekerja dengan Petronas dan membina kerjaya saya.”

“Jika saya bergantung kepada pendapatan harian ibu, saya tidak fikir saya akan dapat memenuhi impian saya kerana saya tahu dia tidak mampu untuk membayar yuran pengajian yang tinggi. Sebab itu saya nekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan melakukan yang terbaik semasa temu duga untuk mendapatkan tajaan Petronas,” katanya.

Jasmine dan Louisa adalah antara 600 penerima terpilih PESP tahun ini. Ini merupakan jumlah tajaan tertinggi yang diberikan dalam setahun oleh Petronas, dengan nilai pelaburan lebih RM340 juta. Ia meliputi yuran pengajian, elaun buku dan peralatan belajar serta elaun suai tugas untuk semua pelajar.

Sejak PESP diperkenalkan pada 1975, Petronas telah melabur lebih RM3.5 bilion untuk menaja lebih 37,000 pelajar cemerlang Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di dalam dan luar negara. Program penajaan pendidikan adalah sebahagian daripada inisiatif strategik Petronas untuk menyokong pembangunan modal insan negara. 

Suara Sarawak