Abang Johari (Tangkap Layar)

MIRI: Sarawak sedang bergerak ke arah negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030 melalui pengenalan inisiatif ekonomi digital yang berteraskan data dan inovasi.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau yakin bahawa negeri ini mampu bergerak pantas untuk mengejar visi tersebut.

“Kini Sarawak sedang melaksanakan pembangunan infrastruktur secara besar-besaran untuk memudahkan aktiviti ekonomi dan pelaburan.

“Tanpa jaringan jalan raya yang baik dan efisien, ekonomi negeri ini tidak akan bergerak sepantas yang diinginkan,” katanya ketika berucap pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Hari Lahir Ke-86 Yang Di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Stadium Miri, hari ini.

Tambahnya, pembangunan infrastruktur memerlukan kos yang besar dan kaedah biasa melalui bajet tahunan tidak akan mampu membiayai kos membina jalan raya dan jambatan yang tinggi.

“Alhamdulillah, melalui pembiayaan alternatif dengan penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), kerajaan dapat melaksanakan program untuk menyediakan infrastruktur yang begitu penting bagi memacu aktiviti ekonomi negeri ini.

“Selain itu, aktiviti pelaburan juga bergantung kepada keupayaan negeri ini dalam menyediakan tarif elektrik yang kompetitif di rantau ini.

“Dengan mengambil alih hidro Bakun daripada Kerajaan Persekutuan pada 2018, Sarawak mempunyai kuasa penuh terhadap penjanaan elektrik dan juga kuasa untuk menentukan tarif elektrik,” ujarnya.

Tambahnya, negara-negara di rantau ini sedang memerhatikan di mana mereka boleh mendapat akses kepada sumber tenaga boleh diperbaharui untuk menggantikan bahan-bahan bakar fosil.

“Sarawak bernasib baik kerana mempunyai sumber tenaga cukup besar yang dijanakan oleh empangan hidro dan sumber asli yang mengeluar tenaga yang boleh diperbaharui,” jelasnya.

Suara Sarawak