:Peserta sedang menghias nasi pulut kuning dalam pertandingan anjuran ISMA dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Surau Darul Ihsan Kampung Badong. 

DARO: Wanita ISMA Sarawak Tengah dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Surau Darul Ihsan Kampung Badong menganjurkan pertandingan menghasilkan gubahan nasi pulut kuning di sini, semalam.

Pengerusi surau, Abang Shamsure Abang Wahap berkata, pihaknya berbesar hati berpeluang bergandingan dengan ISMA menganjurkan pertandingan yang julung-julung kalinya diadakan itu.

“Kebanyakan peserta terdiri daripada wanita dan suri rumah. Kreativiti hiasan pulut yang dihasilkan sepanjang pertandingan menunjukkan minat mereka terhadap penghasilan makanan tradisi ini,” katanya ketika dihubungi.

Abang Shamsure berkata, pertandingan juga bertujuan untuk mempromosikan persaingan sihat, sekali gus mewujudkan pengalaman dan meningkatkan pengetahuan melalui perkongsian antara peserta.

Selain itu katanya, ia juga membantu membina nilai-nilai positif dalam kalangan para peserta seperti keyakinan diri dan semangat bekerjasama.

“Pertandingan ini dihadiri lebih 50 orang penduduk dan sambutan yang begitu menggalakkan memberi perangsang kepada kita untuk meneruskan penganjurannya pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, johan disandang Timah Tuni dan Hyroniza, tempat kedua menjadi milik, Fatimah Teo Choon Kee dan Setiah Hosen manakala, Khajijah Ali dan Hamidah Rosli menduduki tempat yang ketiga.

Hadir sama Ketua Kaum Kampung Badong Haslimi Hassan.

Antara peserta yang mengambil bahagian. 

Kesemua peserta mengabadikan kenangan bersama sijil masing-masing.

Suara Sarawak