Ismail Sabri dikurniakan darjah Datuk Patinggi Bintang Kenyalang (D.P) sempena ulang tahun TYT Sarawak yang ke-86, turut disaksikan Abang Johari (kanan) dan lain-lain. Foto: Ukas

MIRI: Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dikurniakan Pingat dan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, hari ini, di Miri Marriot & Spa.

TYT Tun Taib menyarungkan pingat dan mengurniakan darjah Datuk Patinggi Bintang Kenyalang (D.P) kepada Ismail sempena ulang tahunnya yang ke-86.

Pergerakan Perdana Menteri untuk menghadap Yang Di-pertua Sarawak turut diiringi Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Sementara, pengurniaan darjah yang juga membawa kepada gelaran ‘Datuk Patinggi’ kepada Ismail turut disaksikan Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.

Dalam pada itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang turut hadir dalam pengurniaan darjah kebesaran tersebut.

Isteri Perdana Menteri Datin Sri Muhaini Zainal Abidin juga tidak ketinggalan menyaksikan detik pengurniaan tersebut.

Istiadat tamat tepat jam 5.30 petang dengan keberangkatan TYT Tun Taib serta isteri.

Dalam pada itu, Ismail merupakan penerima tunggal bagi Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak D.P dan mendahului senarai 846 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Sambutan Harijadi Ke-86, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.

Yang Di-pertua Negeri Sarawak Tun Taib menyarungkan pingat, sekali gus mengurniakan darjah Datuk Patinggi Bintang Kenyalang (D.P) kepada Ismail Sabri .. Foto: Ukas

Suara Sarawak