Gambar hiasan

JIKA anda diberi peluang untuk bekerja di luar negara, adakah anda menerima tawaran tersebut?

Mungkin bagi sesetengah orang, ia satu peluang yang datang hanya sekali seumur hidup.

Maka, peluang sedemikian tidak akan dilepaskan tambahan pula jika ia menjanjikan ganjaran yang lumayan.

Kita harus akui ramai rakyat Malaysia telah berhijrah atau bekerja di luar negara kerana bekerja, belajar dan sebagainya.

Tetapi mengapa mereka memilih untuk mencari rezeki di negara asing berbanding di tanah air sendiri?

Apa-apa pun setiap orang ada alasan tersendiri dalam memilih pekerjaan sama ada di dalam atau luar negara.

Meskipun demikian, kita tidak dapat menafikan ada sesetengah orang telah menjadi mangsa perhambaan moden atau kata nama lainnya, pemerdagangan manusia kerana tersilap memilih pekerjaan di luar negara.

Mereka dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Akibat desakan hidup atau tertarik dengan tawaran pekerjaan, mereka menerima tawaran kerja di luar negara tanpa menyedari bahawa kerja tersebut tidak seperti yang diharapkan.

Seperti peribahasa, indah khabar daripada rupa!

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bersatu (PBB), perhambaan moden memang ada di setiap negara di dunia.

Ya, lebih separuh daripada kes kerja paksa di negara berpendapatan sederhana atas atau berpendapatan tinggi.

Kajian oleh agensi-agensi PBB untuk buruh dan migrasi bersama-sama dengan Walk Free Foundation yang dikeluarkan baru-baru ini mendapati satu daripada 150 orang di dunia terperangkap dalam bentuk perhambaan moden.

Dalam pada itu, kes membabitkan perhambaan moden memang ada berlaku di negara kita!

Fakta ini agak mengejutkan dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin memberitahu, seramai 73 penjawat awam ditahan untuk siasatan berkaitan kesalahan pemerdagangan orang sejak 2020.

Jadi, adakah sindiket perhambaan moden ini menular di negara kita?

Tujuh bulan pertama tahun ini sahaja, seramai 131 mangsa pemerdagangan orang berjaya diselamatkan hasil kerjasama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Dalam Negeri.

Perkara ini didedahkan oleh menterinya, Datuk Seri Rina Harun awal Ogos lalu. Ini satu fakta yang menyedihkan kerana yang pasti setiap orang memasang harapan tinggi untuk mencari rezeki untuk keluarga yang ditinggalkan di negara asal tetapi harapan itu berkecai.

Sadisnya mereka menjadi mangsa sindiket perhambaan moden seperti dikerah bekerja dengan teruk hingga gaji disekat, bekerja tanpa gaji dan sebagainya.

Berdasarkan laporan, majoriti mangsa-mangsa ini dieksploitasi sebagai pekerja buruh paksa dan selebihnya bagi kerja-kerja pelacuran termasuk penjualan kanak-kanak membabitkan mangsa dari Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Tambahan pula, pemerdagangan manusia dan buruh paksa merupakan isu rentas sempadan yang berlaku di kebanyakan negara sama ada negara maju atau membangun.

Seperti yang dikatakan oleh Hamzah, ekonomi negara yang stabil dan progresif dikenal pasti menjadi faktor penarik berlakunya penambahan aktiviti pemerdagangan orang ke Malaysia setiap tahun.

Dengan faktor penarik tersebut, negara kita memang mampu memberi pekerjaan kepada sesiapa sahaja.

Sejajar itu, tidak hairanlah jika Malaysia dilaporkan kekal berada pada tahap tiga (Tier 3) dalam Laporan Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Orang (US Tip Report) 2022.

Laporan yang bermula 1 April 2021 hingga 31 Mac 2022 itu mendedahkan kerajaan gagal mencapai piawaian minimum terhadap usaha menghapuskan pemerdagangan manusia.

Laporan itu juga menyaksikan siasatan antipemerdagangan merosot, dan kerajaan tidak mendakwa atau mensabitkan pegawai kerajaan yang didakwa terlibat dalam jenayah pemerdagangan.

Benarkah dakwaan tersebut?

Ini satu perkara yang harus kita fikirkan bersama.

Melihat kepada senario ini, apa yang harus kita lakukan untuk membantu pihak berkuasa memerangi perhambaan moden?

Presiden Alumni Parlimen Belia Malaysia Mohamad Nazrin Faiz Che Abd Aziz mencadangkan agar anak muda menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dan pihak berwajib tentang aktiviti pemerdagangan manusia.

Persoalannya bagaimana ia boleh dilakukan sedangkan anak muda bukan penguat kuasa?

Perkara ini juga diakui Mohamad Nazrin, anak muda sebenarnya mungkin tidak mampu untuk menjadikan orang yang menangkap penjenayah tetapi mereka boleh sampaikan apa saja jenayah menerusi platform yang betul seperti PDRM.

Kesimpulannya tidak kira tua atau muda, marilah kita bersama-sama membantu memerangi perhambaan moden ini daripada berleluasa kerana sesiapa sahaja boleh menjadi mangsanya.

Suara Sarawak