Jadi keldai akaun, wanita warga emas diperintah berkelakuan baik

KUCHING: Seorang wanita warga emas dipercayai menjadi keldai akaun diperintahkan bon berkelakuan baik selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Rohaya Mohd Akhirin, 61, dari Rawang, Selangor mengaku bersalah atas tiga pertuduhan
memiliki wang berjumlah RM105,000 secara tidak sah dalam akaun peribadinya yang digunakan untuk aktiviti ‘Love Scam’, tujuh tahun lalu.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, dia didakwa menerima transaksi wang berjumlah RM25,000 pada 21 November 2016, RM40,000 (22 November 2016) dan RM40,000 (24 November 2016) daripada mangsa wanita berusia 64 tahun.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda RM500, jika sabit kesalahan.

Syarifah fatimah memerintahkan bon berkelakukan baik selama satu tahun dengan jaminan RM200 beserta seorang penjamin bagi setiap pertuduhan yang dikenakan.

Menurut fakta kes, mangsa telah berkenalan dengan seorang lelaki yang bernama Terry Chew berasal dari Kanada melalui laman sosial Facebook. Mangsa tidak mengenali butiran peribadi lelaki berkenaan dan hanya berhubung melalui mesej dan rakaman suara dari aplikasi Whatapps.

Sekitar tarikh 21 November 2016 hingga 24 November 2016, mangsa telah membuat transaksi wang sebanyak RM170,000 ke dalam dua akaun berbeza termasuk akaun milik tertuduh untuk membantu Terry yang dikatakan ditahan oleh pihak Imigresen Kuala Lumpur kerana membawa wang berlebihan berbentuk USD masuk ke Malaysia.

Selain itu, mangsa sanggup berhutang dengan abang dan adik perempuannya demi membebaskan Terry. Selepas bebas, Terry berjanji akan membayar wang berjumlah RM170,000 melalui sebuah bank di Kanada.

Mangsa sekali lagi diarahkan untuk membuat transaksi RM15,000 kerana perlu membayar orang ketiga secara dalam talian bagi memudahkan pembayaran hutang namun mangsa enggan berbuat demikian kerana merasa diri telah ditipu lalu membuat laporan polis.

Hasil siasatan melalui penyataan akaun yang diperolehi mendapati tiga transaksi kemasukan wang berjumlah RM105,000 ke dalam akaun peribadi tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

Suara Sarawak