Jadikan GPS jantung

KUCHING: Rakyat Sarawak harus menjadikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai jantung yang menentukan kestabilan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dengan itu, Sarawak bukan sahaja mempunyai suara yang kuat malah menjadi kuat di peringkat persekutuan, sekaligus membolehkan GPS dapat terus menuntut hak-hak Sarawak yang terhakis.

“Bukan sombong tetapi kita mempunyai kekuatan, kita kongsi kekuatan bukan sahaja demi masa depan rakyat Sarawak tetapi juga Malaysia.

“Malah kita mempunyai kualiti kepimpinan dari Sarawak,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda GPS di Stadium Perpaduan, Petra Jaya hari ini.

Menurut Abang Johari yang juga Pengerusi GPS, PRU-14 yang lalu telah menyaksikan GPS menjadi jantung dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan, selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang setelah hanya 22 bulan memerintah sehingga menyaksikan negara mengalami pertukaran tiga Perdana Menteri.

Katanya demi kestabilan negara, GPS yang menjadi penentukan kepada pembentukan Kerajaan Persekutuan telah menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, termasuk Dato Sri Ismail Sabri Yaakob.

“Jadi kali ini, kita hantarkan 31 Ahli Parlimen daripada GPS dan kita teruskan menjadi komponen yang strategik dan penting dalam Malaysia,” katanya.

Sementara, Abang Johari berkata meskipun PRU-15 ini adalah ujian pertama GPS dalam berdepan PRU, namun gabungan yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) itu tidak takut dan gentar.

Katanya ia kerana semangat GPS adalah untuk mempertahankan hak-hak Sarawak dalam Malaysia.

“Kita mempunyai hak, GPS akan melindungi hak kita,” sambil menambah perjuangan Ahli Parlimen GPS sebelum ini telah membawa kepada beberapa kejayaan dalam tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Suara Sarawak