KUCHING: Laluan Jalan Main Bazaar, di sini akan ditutup sepenuhnya bermula jam 12 tengah malam ini (20 Oktober) sempena Regata Sarawak-Festival Tebingan Kuching yang akan berlangsung dari 28 Oktober sehingga 6 November ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, penutupan awal itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pemasangan khemah di sepanjang Jalan Main Bazaar.

Infografik laluan Jalan Main Bazaar yang akan ditutup bermula jam 12 tengah malam (20 Oktober) sehingga 6 November 2022

“Laluan tersebut akan dibuka semula kepada kenderaan awam pada 7 November depan.

“Justeru, pengguna jalan raya dinasihati supaya merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan akibat penutupan jalan main bazaar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memohon kerjasama daripada orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan di Jalan Main Bazaar dan Jalan Tun Abang Haji Openg.

“Ini supaya aliran trafik bergerak lancar. Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuching di talian 082-259900,” tambahnya.

Suara Sarawak