Tun Taib, Abang Johari serta barisan pemimpin tertinggi Sarawak pada Majlis Makan Malam Lan Berambeh Anak Sarawak 2022 di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: Anak-anak Sarawak yang berjaya dan cemerlang diingatkan untuk menunaikan kewajipan dengan berbakti kepada negeri ini sekiranya diberikan ruang serta peluang.

Penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya Datuk Sri Fadillah Yusof berkata, ia penting kerana hanya orang Sarawak yang akan membela nasib rakyatnya sendiri.

“Anak-anak Sarawak di Semenanjung umpama anak dagang di negeri orang. Sekiranya anda berjaya dan cemerlang, jangan sama sekali lupa dari mana anda bermula. Jangan lupa akan tanah negeri ku Sarawak!

“Tunaikan kewajipan pada negeri kita yang tercinta. Kalau bukan anda, sapa lagi yang akan berbuat demikian. Hanya orang Sarawak akan bena-bena membela nasib orang Sarawak,” katanya.

Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Lan Berambeh Anak Sarawak 2022 berkata demikian pada Majlis Makan Malam Program tersebut yang diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Mitec, Kuala Lumpur, malam tadi.

Malah katanya, negeri ini satu-satunya di Malaysia yang menganjurkan program seumpama itu bagi mengumpul rakyatnya yang berada di perantauan demi mengukuhkan perpaduan dan mengeratkan silaturahim.

Dalam pada itu, Fadillah memberitahu buat pertama kali dalam sejarah , akan dianjurkan larian anak Sarawak di Kuala Lumpur menerusi Sarawak Volunteer.

“Larian yang akan dicatatkan dalam Malaysia Book of Record ini sebagai larian pertama melalui terowong dan lebuh raya,” jelasnya.

Larian malam sejauh 12 km tersebut akan berlangsung pada 5 November depan bermula jam 9 malam untuk mencipta rekod marathon kerana ia yang pertama seumpamanya dianjurkan di negara ini.

Hadir sama isteri TYT, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib; Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

 

Antara anak-anak Sarawak yang hadir memeriahkan majlis.

Suara Sarawak