INOVASI… anak benih pokok ciptaan inovasi warga kerja JHS dinamakan Skyline Seedling Transporter (SST).

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Hutan Sarawak (JHS) menyasarkan untuk menanam sebanyak 35 juta pokok dalam tempoh lima tahun bermula pada 2021 sehingga 2025.

Jabatan Hutan Sarawak (JHS) menerusi kenyataan berkata, perkara tersebut merupakan sokongan kepada pelaksanaan Kempen Program Penghijauan Malaysia.

“Justeru, kita perlu menanam sekurang-kurangnya tujuh juta pokok setiap tahun untuk mencapai hasrat tersebut.

“Dengan sokongan pelbagai pihak serta peralatan moden yang digunakan, kami yakin dapat mencapai sasaran ini dengan mudah,” kata JHS.

Sejak dilancarkan pada 2021 hingga 7 Oktober ini, sebanyak 14.5 juta pokok atau 40 peratus daripada sasaran penanaman 35 juta telah ditanam di seluruh Sarawak.

JHS menambah untuk memastikan program restorasi mencapai matlamatnya, elemen penyelidikan dan pembangunan (RnD) perlu diperkasakan.

“Inisiatif JHS yang telah mengetengahkan projek dikenali sebagai bebola benih dilihat amat bertepatan bagi memudahkan aktiviti penanaman pokok terutama sekali di kawasan-kawasan yang sukar dimasuki seperti kawasan berbukit.

“Setiap bebola benih yang disalutkan dengan biji benih pokok, boleh mencapai kadar percambahan sehingga 90 peratus selepas 7 hingga 14 hari ditabur. Kos penyediaannya juga lebih murah berbanding dengan kaedah yang lain,” ujarnya.

Menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM62 juta kepada JHS untuk melaksanakan program-program restorasi di seluruh negeri. Tahun ini, sebanyak RM10 juta telah disalurkan kepada jabatan tersebut.

Manakala, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Malaysia (Ketsa) turut menyalurkan peruntukkan sebanyak RM10.37 juta iaitu RM4 juta bagi Program Penghijauan Malaysia Melalui Kempen Penanaman 100 juta pokok dan RM6.37 juta bagi Program Tanaman Bakau dan Program Restorasi Melalui Perhutanan Sosial (Sosil) kepada JHS bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang pada tahun ini.

Suara Sarawak