KUCHING: Penyerang berpengalaman Kuching City FC (KC FC), Joseph Kalang Tie mengakui pertembungan dengan pasukan tercorot dari Liga Super 2022, Pulau Pinang aksi buka tirai kempen Piala Malaysia 2022 pada 26 Oktober ini sebagai situasi yang cukup mencabar.

Lantas, menggesa rakan sepasukan untuk fokus pada perlawanan sebenar nanti.

Menurut bekas pemain perancang skuad kebangsaan itu, tuntutan tersebut penting kerana ia mampu menjadi tonik tambahan mencipta keputusan yang positif.

BERPENGALAMAN…Joseph Kalang Tie.

“Kami perlu bekerja keras untuk menghadapi aksi buka tirai menentang Pulau Pinang nanti.

“Format pertandingan tahun ini berbeza, ada aksi timbal balik. Justeru, sebolehnya kami perlu mengelak dari melalukan kesilapan,” ujar Joseph kepada Arena Suara Sarawak.

Tegas Joseph, beliau dan rakan-rakan tampak lebih bersemangat pada sesi latihan ketika ini dan cukup bersedia untuk menghadapi saingan piala berprestij negara itu.

Perlawanan antara Pulau Pinang dan The City Boys ini akan berlangsung di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Sementara itu, aksi timbal balik akan berlangsung pada 31 Oktober di Stadium Negeri, Petra Jaya.

Suara Sarawak