PADAWAN: Jumlah kerugian membabitkan kes tipu pinjaman tidak wujud (PTW) dalam talian di Padawan meningkat pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menerima sebanyak 17 laporan bagi tempoh 1 Januari sehingga 16 Oktober 2022 dengan melibatkan kerugian bernilai hampir RM600,000.

“Jumlah itu meningkat sebanyak RM170,000 berbanding kerugian tempoh yang sama tahun sebelumnya yang dianggarkan bernilai RM430,000 menerusi 36 laporan diterima,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, ‘Mule Account’ atau pemilik akaun digunakan untuk melakukan jenayah siber kerana sindiket tersebut tidak pernah rugi selagi ‘Mule Account’ dalam kawalan mereka.

Abang Zainal berkata, modus operandi penjenayah PTW ialah membuat iklan tawaran pinjaman peribadi secara dalam talian melalui Facebook dengan menawarkan syarat yang menarik dan mudah, tanpa penjamin, kelulusan yang cepat dan tiada had pinjaman.

“Tanpa sebarang soal selidik, mangsa telah menurut segala arahan penjenayah dengan membekalkan segala arahan penjenayah dengan membekalkan dokumen peribadi dan butir-butir sulit perbankan,” katanya ringkas.

Manakala katanya, penjenayah ‘Mule Account’ juga wujud disebabkan kecuaian pemilik akaun itu sendiri kerana memberi dan membenarkan pihak ketiga iaitu sindiket penipuan menggunakan nombor akaun miliknya untuk melakukan jenayah siber.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam jangan sekali-kali membuat pinjaman peribadi secara ‘online’ bagi mengelak dari menjadi mangsa tipu PTW.

Suara Sarawak