DARO: Daro berpotensi menjadi hab ekonomi hijau susulan keadaan geografinya yang sesuai dijadikan sebagai kawasan penanaman alga.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha tersebut akan dijalankan menerusi projek perintis yang bakal dilaksanakan oleh Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).

“Jika projek perintis di Bintulu dan Gedong mengeluarkan biofuel dari alga berhasil, Daro sesuai dijadikan kawasan penanaman alga disebabkan tumbuhan, cahaya matahari dan air masin yang terdapat di sini.

SIMBOLIK… Abang Johari (tengah) melakukan simbolik pecah tanah Tapak Skim Pembesaran Kampung (SPK) Badong di sini. Turut kelihatan Shafiee Ahmad (kanan Abang Johari), Datuk Len Taliff (depan) dan Datuk Julaihi Narawi (dua depan).

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pembinaan Rumah Spektra Permata (RSP) di Tapak Skim Pembesaran Kampung (SPK) Badong, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Abang Johari berkata, beliau juga akan membawa pakar dalam merealisasikan usaha tersebut kerana secara teori 1,000 ekar alga dapat menghasilkan 20,000 tong minyak.

Kalau kita dapat membangunkan kawasan ini, pokok bakau yang tumbuh di sini juga dapat menyimpan karbon tiga kali lebih banyak berbanding tumbuhan lain sebagai tempat penyimpanan karbon di Sarawak, katanya.

SIMBOLIK… Abang Johari (tiga kiri) melakukan simbolik perasmian Kompleks Sukan Daro.

“Usaha ini akan menjadi sumber ekonomi dan memberikan pulangan besar kepada penduduk di samping akan direalisasikan bergantung kepada penyelidikan saintifik yang diperakui.

“Tapi saya yakin ia dapat diwujudkan dan jika berhasil, Sarawak mempunyai potensi lebih cerah dalam bidang tenaga boleh diperbaharui,” ujarnya.

Suara Sarawak