KUCHING: Hukuman yang dijatuhkan terhadap guru kaunseling lelaki sekolah menengah asrama penuh menunjukkan keadilan telah ditegakkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah menegaskan perkara ini susulan pengumuman keputusan Mahkamah Sesyen Kuching hari ini terhadap seorang guru yang melakukan amang seksual kepada enam pelajarnya.

“Ini telah menjadi satu perjalanan yang panjang dan sukar dari segi fizikal dan psikologi dalam menuntut keadilan bagi mangsa dan keluarga mereka.

Datuk Seri Fatimah Abdullah

“Semua mangsa ini mungkin tidak akan mendapat keadilan sekiranya mereka tidak bersungguh-sungguh membawa pelaku ke mahkamah,” katanya.

Fatimah juga menegaskan keputusan kes itu hari ini membawa mesej yang jelas kepada pelaku bahawa mereka tidak terlepas dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam pada itu, Fatimah berharap agar semua mangsa boleh meneruskan kehidupan mereka sama ada meneruskan pengajian atau mencari pekerjaan di luar Kuching.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 90 tahun dan 24 sebatan atas enam pertuduhan terhadap seorang guru kaunseling kerana melakukan amang seksual terhadap enam pelajar lelaki, empat tahun lalu.

Perintah itu dibuat oleh Hakim Afidah Abdul Rahman selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan tertuduh berusia 32 tahun yang berasal dari Sabah itu.

Suara Sarawak