KUCHING: Krisis kepimpinan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dilihat semakin meruncing pada malam tadi (Jumaat) berikutan penggantungan keahlian parti Datuk Zuraida Kamaruddin berkuat kuasa serta-merta.

Presidennya Datuk Larry Sng turut menggantung jawatan 12 pemimpin lain dalam majlis tertinggi parti.

Ahli yang digantung termasuk Haniza Mohamad Taha, Dr Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Dr Sathiskumar Govindaraju, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Datuk Chua Lian Chye, Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Larry Sng

“Surat penggantungan mereka telah dihantar kepada mereka secara individu dan mereka akan digantung sehingga jawatankuasa tatatertib ditubuhkan untuk meneliti perkara itu selepas pilihan raya,” kata Sng dalam satu kenyataan lewat malam tadi di hantaran Facebook rasmi beliau.

Tambahnya, mesyuarat Majlis Tertinggi itu akan bermesyuarat pada Ahad ini di Sarikei, pada jam 4 petang memandangkan perkara tersebut amat mendesak, bagi membincangkan dan menyelesaikan isu tersebut dengan segera.

“Saya akan melaksanakan peruntukan Perkara 21 (ii) Perlembagaan Parti untuk membenarkan mesyuarat diadakan kurang daripada notis tujuh hari yang diperlukan.

“Mereka yang telah digantung tugas tidak akan dijemput untuk menghadiri mesyuarat itu,” katanya.

Sehubungan itu, Sng membekukan keahlian Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan Parti Zakaria Abdul Hamid pada Khamis, ujarnya keputusan itu dibuat berikutan Mesyuarat Majlis Tertinggi PBM yang diadakan pada 7 Oktober lalu dibuat tanpa pengetahuan dan arahan beliau sebagai Presiden Parti.

Suara Sarawak