Ketua Jurulatih SU FC S. Balachandran

KUCHING: Kemenangan tipis (1-0) Sarawak United FC ke atas Melaka United di Stadium Negeri semalam membuktikan para pemain mempunyai kelas tersendiri apabila dipertanggungjawab untuk bermain sepanjang perlawanan.

Ketua Jurulatihnya, S. Balachandran mengakui, rentak permainan bercorak versatil itulah yang ditagihnya selaras dengan kekuatan sedia ada pasukan dalam memburu kemenangan menjelang perlawanan.

Menurutnya, taktikal meletakkan pemain gantian bermain di posisi lain pada perlawanan tersebut dilihat memberi impak positif terutama di bahagian jentera pertahanan.

“Persembahan perlawanan sangat baik, selepas menghadapi musim panjang liga akhirnya kita berada di landasan rentak permainan sebenar.

“Kesemua pemain yang diberi tugasan mempamerkan aksi bagus sepanjang 90 minit perlawanan.

“Melihat kepada corak permainan kita pada kali ini, ramai pemain-pemain mempunyai kekuatan serba boleh yang mana kita telah memberi peranan kepada pemain gantian untuk bermain di posisi berlainan,” katanya dalam sidang media, semalam.

Pada perkembangan lain, beliau mahu anak-anak buahnya untuk memberi fokus dalam menghadapi saingan Piala Malaysia yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Buat masa sekarang kita ada sasaran dalam perlawanan pertama (Piala Malaysia) iaitu menentang Kelantan FC,” katanya.

Suara Sarawak