BINTULU: Tahap keselamatan Alat Bantu Pelayaran (ATONS) yang digunakan perlu ditingkatkan bagi mengekalkan rekod sifar kes kemalangan di Pelabuhan Bintulu.

Susulan itu, Menteri Pengangkutan Sarawak (MOTS) Datuk Seri Lee Kim Shin menyarankan agar Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) dan Lembaga Boya dan Api Sarawak (LBAS) mengadakan perbincangan khas bersama-sama MOTS.

Beliau menegaskan bahawa ia penting bagi meningkatkan tahap keselamatan di pelabuhan ini, yang juga merupakan pelabuhan antarabangsa milik Malaysia dan diiktiraf sebagai pelabuhan ketiga terbesar di dunia bagi pengeksportan gas asli cecair (LNG).

Kim Shin bersama-sama yang lain merakamkan gambar kenang-kenangan semasa lawatan kerja ke Pelabuhan Bintulu.

“Menjadi keutamaan pihak kementerian untuk memastikan keselamatan kesemua kapal yang bergerak keluar dan masuk terjamin, terutama sekali kapal LNG,” katanya semasa mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Bintulu, pada Rabu.

“ATONS yang digunakan seperti pelampung, lampu pelbagai dan penanda (bouys, various lights and marks) hendaklah dilengkapi dengan teknologi yang terkini.

“Ia perlu diselenggara dengan baik serta menepati piawaian yang ditetapkan oleh Persatuan Bantuan Laut Antarabangsa kepada Pihak Berkuasa Navigasi dan Rumah Api (IALA),” ujarnya.

Tambah Kim Shin, fasiliti keselamatan yang sudah lama juga seharusnya diganti agar tidak menjejaskan keselamatan kapal yang datang beroperasi ke pelabuhan ini.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Datuk Ir. Alice Jawan Empaling, Pengerusi LBAS merangkap Pengarah Jabatan Laut Malaysia, Wilayah Sarawak Mohamad Marzuki Brahim dan pegawai-pegawai kanan MOTS.

Suara Sarawak