Kekalkan rekod tanpa kalah, Saratok FA

KUCHING: Pilihan juara Saratok FA tidak rela rekod tanpa kalah pada tiga perlawanan dilalui sebelum ini tercalar.

Sekali gus, berazam mahu meneruskan reputasi hebat tersebut pada perlawanan menentang Semarang Village United, Liga Betong 2022 di Kompleks Sukan Betong Ahad ini.

Ketua Jurulatih, Awang Jobli Awang Bidin memberitahu, kemenangan menjadi fokus pemain untuk aksi keempat pasukannya hujung minggu ini.

“Kita tidak rela rekod tanpa kalah pada tiga perlawanan sebelum ini tercalar.

“Justeru, kemenangan adalah misi utama kami berdepan kelab berkenaan,” ujar Awang Jobli kepada Arena Suara Sarawak.

Pengemudi berpengalaman luas zaman kegemilangan skuad DBKU itu turut beranggapan tiada jalan mudah untuk pemainnya menggapai apa yang diinginkan.

“Pasukan lawan (Semarang Village United) antara pasukan berwatak pencabar dan boleh melakukan kejutan.

“Oleh yang demikian, pemain diingatkan agar lebih berwaspada sepanjang perlawanan,” tambah Awang Jobli.

Katanya, kemenangan untuk perlawanan hujung minggu ini sekali gus melengkapkan penguasaan Saratok FA untuk mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang musim ini.

Saratok FA masih lagi gah di kedudukan teratas Kumpulan A, menggumpul 9 mata selepas mencatat semua dalam tiga perlawanan dilalui sebelum ini.

 

Suara Sarawak