TERBABAS…Pemain pertahanan Sarawak United, Gonzalo Soto (kiri) terbabas dalam usahanya mengawal pergerakan pemain pemain Kelantan FC, Mohamad Shafiq Al-Hafiz Dawawi (kanan). – FOTO ALIF NONI

KUCHING: Sarawak United FC (SU FC) gagal memanfaat kelebihan beraksi dilaman sendiri selepas tewas (1-0) ketika menentang Kelantan FC di Stadium Negeri, Petra Jaya malam tadi.

Sekali gus, tugas mencabar menanti anak-anak buah S. Balachandran untuk mengatasi difisit gol tersebut sebagai usaha mengintai slot ke pusingan seterusnya dalam kempen Piala Malaysia 2022 mengambil kira aksi timbal balik yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 31 Oktober ini.

Gol tunggal pasukan pelawat pada perlawanan tersebut dijaringkan pemain gantian, Kenta Hara yang mudah menolak masuk bola ke gawang minit ke-82 selepas bola tampan penjaga gol tuan rumah, Tauffiq Ar Rasyid Johari terkena palang.

Aksi cukup hebat diperaga pemain Sarawak United sepanjang perlawanan.

Mereka sebenar boleh memenangi perlawanan tersebut jika mengambil kira percubaan tepat yang dilakukan dan berjaya diselamatkan penjaga gol pelawat, Nik Mohd. Amin Ahmad.

Masing-masing menerusi percubaan dilakukan Zahrul Nizwan Joe Kifli, S. Chanthuru, Gonzalo Soto dan Uche Agba.

Apa pun, masih ada 90 minit lagi buat pemain Sarawak United FC untuk memgubah keputusan tersebut. Yang pasti, mereka harus menang pada aksi timbal balik kelak.

Suara Sarawak