KUCHING: Seorang lelaki berperwatakan wanita didenda RM500 atau sepuluh hari penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki wang secara tidak sah berjumlah RM50,000 di dalam akaun peribadinya.

Tertuduh Sabbudin Mohd Salleh, 33, dari Kedah, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima wang berjumlah RM50,000 dikreditkan ke akaunnya dari sebuah bank beralamatkan Taman Samarax, Kota Samarahan sekitar jam 3 petang, 29 Ogos 2021.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958, yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda RM500, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, seorang mangsa telah menerima panggilan daripada seorang individu yang tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri(LHDN) menggunakan nombor telefon 011-58691872.

Individu terbabit menyatakan bahawa mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM17,600.76 sebelum panggilannya disambung kepada seorang lagi lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis.

Mangsa yang menyerahkan maklumat peribadinya menyedari ditipu apabila menyemak baki akaun miliknya telah mengeluarkan wang berjumlah RM20,000 dari akaun Bank Public dan RM50,000 dari akaun Bank Hong Leong dengan enam kali transaksi.

Hasil siasatan, mendapati terdapat transaksi wang daripada akaun mangsa masuk ke dalam akaun peribadi tertuduh sebanyak enam kali berjumlah RM50,000.

Difahamkan, tertuduh bekerja sebagai penyelia di sebuah kedai serbaneka membuka akaun peribadi terbabit bagi tujuan kemasukan gaji di bekas tempat kerjanya.

Selain itu, tertuduh juga mengesahkan bahawa nombor akaun banknya telah ditutup oleh pihak bank selepas kad ATM miliknya pernah tercicir.

Namun demikian, tertuduh tidak pernah melaporkan kehilangan tersebut kepada pihak polis tersebut dan tidak pernah menyerahkan kepada sesiapa.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak