KUCHING: Persediaan menghadapi bencana alam dan kepayahan rakyat seharusnya mengatasi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang boleh dikemudiankan, kata penganalisis politik Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman.

Menurutnya PRU kali ini jelas hanya memenuhi tekanan, desakan dan asakan oleh golongan berkepentingan tanpa terlalu memikirkan implikasi kepada rakyat, baik dari segi kos perbelanjaan PRU dan kemaslahatan rakyat di musim tengkujuh yang diramal melanda negara.

Justeru, beliau menyifatkan jika keputusan yang dibuat itu menjadi satu strategi untuk pihak tertentu meraih kemenangan mudah, maka rakyat mungkin kurang berminat untuk keluar mengundi.

Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman

“Rakyat mungkin kurang berminat untuk keluar mengundi dalam mengharungi segala kepayahan bencana alam yang bakal dihadapi,” katanya yang dihubungi bagi mengulas mengenai pembubaran Parlimen yang berkuat kuasa hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Fadzil berkata keputusan meneruskan PRU-15 dengan mengambil kira senario Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sebelum ini juga tidak wajar dijadikan sandaran memandangkan situasi di Sarawak pada waktu itu amat berbeza sekali.

Katanya ia memandangkan tarikh wajib PRN Sarawak sudah melangkaui masa selama lebih enam bulan setelah beberapa kali ditangguhkan.

“Berbeza dengan PRU ini, ia mempunyai masa lebih enam bulan lagi untuk dilaksanakan.

“Namun situasi pada waktu ini tiada justifikasi kukuh melainkan tekanan oleh pihak tertentu yang lebih terdorong oleh agenda tertentu,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Fadzil menyifatkan PRU-15 tidak akan banyak mengubah apa-apa kerana daripada pengamatan umum dan sentimen semasa di lapangan, tiada parti terutamanya di Semenanjung bakal mendominasikan kemenangan.

“Ini kerana tiada parti atau gabungan pada waktu ini yang boleh mendabik dada merasakan pengaruh dan sokongan rakyat terhadap mereka,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRU-15.

Pengumuman khas itu disiarkan secara langsung menerusi beberapa televisyen tempatan pada 3 petang hari ini, selepas memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ismail berkata penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Suara Sarawak